Seorang lelaki potong lidah agar pandemik berakhir


Seorang lelaki nekad mengorbankan lidahnya demi memujuk dewa supaya menghentikan penularan pandemik Covid-19.

Vivek Sharma, 24, melakukan perbuatan itu di depan kuil Nadeshwari di Gujarat, baru-baru ini dengan memotong lidahnya untuk ditawarkan kepada Dewa Kali Mata.

Times of India melaporkan perbuatan nekad itu didorong rasa kecewa selepas dia tidak dapat pulang ke kampung halaman di daerah Morena, Madhya Pradesh akibat perintah berkurung dikenakan di negara itu ketika ini.

Vivek yang bekerja sebagai pengukir batu di kuil Bhavani Mata di Suigam bersama lapan rakan lain memberitahu kawannya dia mahu pergi ke pasar ketika waktu rehat.

Bagaimanapun, dia dilaporkan tidak kembali.

Ketika mereka menghubungi telefon bimbitnya, mereka terkejut mendengar suara orang asing yang memberitahu Vivek ditemui dalam keadaan tidak sedarkan diri di kuil berhampiran dengan lidah terputus.

Vivek ditemui atas lantai Kuil Nadeshwari dibawa ke hospital di Tharad dan doktor berusaha menyambung kembali lidahnya.

Namun, masih terlalu awal mengetahui apakah prosedur perubatan itu berjaya dan jika tidak berkemungkinan Vivek menjadi bisu seumur hidup.

Walaupun dia belum memberitahu polis apa sebenar terjadi di kuil berkenaan, sumber polis memberitahu Times of India, Vivek memotong lidahnya sebagai pengorbanan kepada Kali Mata supaya menghentikan penyebaran virus dan dia dapat pulang ke kampung halaman.

 Selama beberapa hari terakhir, dia mahu pulang ke kampung di Madhya Pradesh, tetapi mustahil kerana perintah berkurung.

"Dia bertindak membabi buta, memotong lidahnya," kata pegawai polis.

Seorang rakan sekerja mangsa, Brijesh Singh Saab Singh memberitahu pihak berkuasa Vivek seorang pemuja Kali Mata dan memang taat dengan dewa itu.
LihatTutupKomentar